glitter-graphics.com


Sunday 16 October 2011

Bendera Malaysia dan Bendera Negeri-Negeri Di Malaysia




Bendera Malaysia
KETERANGAN LAMBANG-LAMBANG PADA BENDERA MALAYSIA

Bendera Malaysia mengandungi 14 jalur merah dan putih (melintang) yang sama lebar,
tanda keanggotaan yang sama dalam Persekutuan 13 buah negeri iaitu Johor, Kedah, Kelantan, Melaka,
Negeri Sembilan, Pahang, Pulau Pinang, Perak, Perlis, Sabah, Sarawak, Selangor,
Terengganu dan Kerajaan Persekutuan.
Bahagian yang berwarna biru tua di atas sebelah kiri membawa ke bawah hingga atas
jalur merah yang kelima melambangkan Perpaduan Rakyat Malaysia.
Bahagian biru tua ini mengandungi anak bulan, tanda Agama Islam. Bintang pecah 14 tandanya
Perpaduan 13 buah negeri dan Kerajaan Persekutuan.
Warna kuning pada anak bulan dan bintang ialah warna Diraja bagi Duli-Duli Yang
Maha Mulia Raja-Raja Melayu
Lambang Malaysia menunjukkan bintang pecah 14 menandakan 13 buah negeri yang terkandung dalam Persekutuan Malaysia, dan Kerajaan Persekutuan, manakala bintang bersama-sama anak bulan itu tanda Agama Islam - agama rasmi Malaysia. Lima bilah keris itu tanda Negeri-negeri Melayu yang Tiada Bersekutu dahulu (Johor, Kedah, Perlis, Kelantan dan Terengganu).
Bahagian sebelah kiri perisai itu menandakan Negeri Pulau Pinang dan bahagian sebelah kanan dengan pokok Melaka itu Negeri Melaka. Kedua-dua buah negeri ini adalah sebahagian dari Negeri-negeri Selat dahulu. Dalam empat jalur yang sama besarnya dalam bahagian tengah itu, warna-warna hitam dan putih ialah warna Pahang; merah dan kuning warna Selangor; hitam, putih dan kuning warna Perak; merah, hitam dan kuning warna Negeri Sembilan.
Empat buah negeri ini ialah Negeri-negeri Melayu Bersekutu yang asal. Tiga bahagian di sebelah bawah itu menandakan Negeri Sabah di sebelah kiri dan Sarawak di sebelah kanan. Di tengah-tengahnya ialah Bunga Raya - Bunga Kebangsaan. Harimau-harimau yang ditunjukkan sebagai penumpang jata Negeri-negeri Melayu Bersekutu dahulu itu digunakan dalam Lambang Malaysia. Cogan - Bersekutu Bertambah Mutu - ditulis dengan tulisan rumi di sebelah kiri dan tulisan jawi di sebelah kanan. Warna kuning pada awan-awan itu ialah warna Diraja bagi Duli-duli Yang Maha Mulia Raja-raja.
Memandangkan Malaysia adalah sebuah negara yang berdaulat, bendera hanya dikibarkan pada tempoh dan waktu yang tertentu sahaja untuk memupuk semangat kenegaraan supaya rakyat Malaysia berasa megah dan menghormati bendera mereka.
Bendera Malaysia dan bendera-bendera negeri hanya boleh dikibarkan pada upacara-upacara rasmi seperti keputeraan Seri Paduka Baginda Yang di Pertuan Agong, Ulang Tahun Hari Kemerdekaan, perayaan-perayaan Persekutuan dan Negeri-negeri, lawatan-lawatan rasmi, di kedutaan-kedutaan Malaysia luar negeri serta upacara-upacara rasmi negara (seperti Majlis Tilawah, SukanNegara). Malah bendera Malaysia berkibar bersama-sama dengan bendera negara-negara lain di hadapan bangunan Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu di New York.
Bendera Malaysia juga telah berkibar dengan megahnya di puncak Gunung Kala Pattar setinggi 5,856 m di Banjaran Himalaya pada tepat jam 1.00 tengah hari pada 11 Januari, 1984 lalu, apabila serombongan 12 orang rakyat negara Malaysia berjaya mendaki puncak gunung tersebut dalam satu ekspedisi bersejarah.
Pada 25 Ogos 1985, Syarikat Singer telah mengadakan Promosi Bendera Gergasi Hari Kemerdekaan Malaysia di Kuala Lumpur Plaza. Bendera tersebut berukuran 32.5 m x 16.4 m. Usaha tersebut menunjukkan kerjasama dan interaksi rakyat Malaysia dari berbagai kaum. Begitu juga bendera terbesar Malaysia yang telah dinaikkan di Bangunan Angkasapuri berukuran 97.5 m x 24.3 untuk menyambut Hari Kebangsaan 1988.
Upacara menaikkan bendera adalah acara kemuncak Semarak pada 21 Ogos1988 di Melaka. Sejajar dengan kempen Setia dan Semarak, Pameran Bulan Bendera telah diadakan di Pasar Budaya. Begitu juga dengan kempen Kibarkan Bendera (Jalur Gemilang) dan kempen Cinta Negara adalah usaha yang dilaksanakan untuk memupukkan semangat cinta dan setia kepada negara.
Bendera Malaysia dan bendera negeri-negeri Malaysia yang mempunyai lambang tersendiri pada keseluruhannya adalah berpegang kepada konsep Rukunegara iaitu:
  • Kepercayaan Kepada Tuhan
  • Kesetiaan Kepada Raja Dan Negara
  • Keluhuran Perlembagaan
  • Kedaulatan Undang-Undang
  • Kesopanan Dan Kesusilaan.

Bendera Sabah
Sabah Di Bawah Bayu
BENDERA NEGERI SABAH DI BAWAH BAYU
Bendera negeri Sabah berbentuk persegi panjang berukuran 1:2. Di sudut sebelah atas
bendera berwarna biru cerah, yang menjadi latarbelakang lukisan grafik bayangan Gunung Kinabalu,
berwarna biru tua, meliputi suku bahagian bendera ini. Bahagian hujung bendera yang berkibar
dihiasi tiga jalur yang sama besar. Jalur atas berwarna biru muda, jalur tengah berwarna putih
dan jalur bawah berwarna merah cili. Warna biru muda melambangkan keamanan dan kesejahteraan,
putih melambangkan kesucian dan keadilan, manakala merah cili melambangkan keberanian dan keyakinan.
Warna biru cerah menunjukkan perpaduan dan kemakmuran sementara biru tua melambangkan kekuatan
dan semangat kerjasama. Kelima-lima warna yang menghiasi bendera ini mewakili lima bahagian
yang terkandung dalam Negeri Sabah. Lukisan grafik berbentuk Gunung Kinabalu pula melambangkan
Kerajaan Negeri Sabah.

LAMBANG NEGERI SABAH DI BAWAH BAYU
Sepasang tangan yang menjulang megah bendera negeri Sabah menghiasi lencana ini melambangkan
semangat perpaduan erat dan kerjasama yang lama terjalin di kalangan rakyat pelbagai kaum demi
mencapai kemajuan dan kejayaan bagi negeri Sabah. Sebarisan lima warna di bawah sepasang
tangan tersebut merupakan lima bahagian 'daerah' yang terkandung dalam negeri Sabah. Warna
biru muda melambangkan keamanan dan kesejahteraan, putih melambangkan kesucian
dan keadilan, merah cili melambangkan keberanian dan keyakinan, warna biru cerah melambangkan
perpaduan dan kemakmuran sementara biru tua melambangkan kekuatan dan
semangat kerjasama rakyat. Lukisan grafik berbentuk bayangan Gunung
Kinabalu pula melambangkan Kerajaan Negeri Sabah.
Bendera Johor
Johor Darul Takzim
BENDERA NEGERI JOHOR DARUL TAKZIM

Anak bulan dan bintang yang berwarna putih itu menandakan Raja yang berdaulat.
Bahagian yang berwarna merah bermakna hulubalang yang mempertahankan negeri.
Bahagian yang berwarna biru tua itu pula maksudnya Kerajaan Negeri.

LAMBANG NEGERI JOHOR DARUL TAKZIM

Mahkota tanda D.Y.M.M Raja. Empat Bintang di sudut Perisai Putih itu menandakan
Empat Buah Jajahan besar asal negeri itu, iaitu Johor Bahru, Muar, Batu Pahat dan Endau,
sementara Bintang dan Anak Bulan di tengah pula, tanda Agama Islam.
Dua ekor Harimau yang memegang perisai itu mengingatkan kepada binatang-binatang
buas yang pada suatu masa dahulu merayau-rayau di negeri ini. Lukisan yang berbunga-bunga
disebelah bawah perisai menggambarkan Gambir dan Lada Hitam, dua jenis hasil utama yang asal bagi negeri ini.
Cogankata negeri ini ialah:- "KEPADA ALLAH BERSERAH"

Bendera Melaka
Melaka Darul Azim
BENDERA NEGERI MELAKA DARUL AZIM
Warna-warna merah, putih, kuning dan biru adalah warna-warna Bendera Persekutuan
dan menunjukkan bahawa Melaka ialah sebuah negeri dalam Persekutuan, sementara anak
bulan dan bintang pecah lima itu pula ialah tanda Agama Islam, agama negeri dan Malaysia.

LAMBANG NEGERI MELAKA DARUL AZIM
Warna merah, putih, kuning dan biru maknanya Melaka sebuah negeri dalam Malaysia.
Lima bilah keris maksudnya lima orang pahlawan termasyhur di Melaka, pada zaman dahulu.
Anak bulan dan bintang pecah lima melambangkan Agama Islam, agama rasmi negeri.
Pokok Melaka ialah pohon dari mana negeri itu mendapat namanya. Dua ekor pelandok
yang memegang perisai ialah untuk memperingati riwayat tua iaitu pelandoklah yang telah
memyebabkan Raja Melaka yang pertama mengambil keputusan untuk menetap di situ.


Bendera Selangor
Selangor Darul Ehsan
BENDERA NEGERI SELANGOR DARUL EHSAN
Empat bahagian yang berwarna kuning dan merah itu bermaksud daging dan darah iaitu
unsur-unsur yang perlu untuk memberi jiwa dan tenaga kepada negeri ini. Bulan bintang pula ialah sebagai Agama Islam, agama rasmi negeri dan kesucian Agama Islam ditunjukkan dengan warna putih.

LAMBANG NEGERI SELANGOR DARUL EHSAN
Anak bulan dan bintang tanda Agama Islam, agama negeri. Tombak merah di tengah-tengah ialah
Sambu-warna. Di sebelah kanan ialah Keris Pendek dan di kiri pula Keris Panjang. Ketiga-tiganya
adalah Alat Kebesaran Negeri. Tulisan jawi yang berbunyi "Dipelihara Allah" ialah cogan negeri.
Di bawah cogan pula ialah tali bengkong yang dipakai sebagai ikat pinggang oleh pahlawan-pahlawan
zaman dahulu.

Bendera Perlis
Perlis Indra Kayangan
BENDERA NEGERI PERLIS INDERA KAYANGAN
Warna kuning melambangkan D.Y.M.M. Raja. Warna biru pula melambangkan rakyat.
Bendera itu sendiri membawa makna kerjasama yang erat di antara Raja dengan Rakyat Baginda.

LAMBANG NEGERI PERLIS INDERA KAYANGAN
Lingkaran padi pada lambang negeri Perlis memberi maksud pekerjaan utama dan hasil utama
negeri iaitu padi. Perisai pula melambangkan kebanggaan dan kehormatan negeri itu. Lambang itu
keseluruhannya bermakna kebanggaan negeri itu kerana kekayaan hasil padinya.


Bendera Pulau Pinang
Pulau Pinang Untuk Negeri Kita
BENDERA NEGERI PULAU PINANG
Warna biru muda bermaksud warna laut yang indah di sekeliling pulau itu. Warna putih pula
membawa maksud negeri Pulau Pinang yang aman dan damai. Warna kuning melambangkan
kemakmuran. Pohon Pinang ialah pohon dari mana pulau itu mendapat namanya.

LAMBANG NEGERI PULAU PINANG
Pohon Pinang ialah tanda asal nama pulau itu. Petak yang berwarna kuning mengandung
i gambar Jambatan Besar Pulau Pinang yang mempunyai dua tiang dan empat kebel yang
menegakkan tiang tersebut. Dua tiang ini melambangkan Serampang Dua Mata di dalam
Dasar Ekonomi Baru iaitu pembasmian kemiskinan dan penyusunan semula masyarakat. Empat
kebel pula menggambarkan empat jenis keturunan rakyat di negeri ini, iaitu Melayu, Cina, India
dan lain-lain. Jalur-jalur biru dan putih yang menjadi simbol lautan berjumlah lima. Tiap-tiap satu
warna yang memberi makna simbol lima prinsip Rukunegara dan lima daerah pentadbiran
yang terdapat di Pualu Pinang.
Bendera Kelantan
Kelantan Darul Naim

BENDERA NEGERI KELANTAN DARUL NAIM
Latarbelakang berwarna merah maksudnya kejujuran penduduk negeri ini termasuk rakyat dan
Raja yang memerintah. Lambang kebesaran berwarna putih itu tanda kesucian Raja negeri ini.


LAMBANG NEGERI KELANTAN DARUL NAIM
Lambang Mahkota menandakan Kedaulatan Sultan. Dua tombak dan dua keris maksudnya
kekuatan orang-orang Melayu Kelantan. Anak bulan dan bintang adalah lambang agama Islam.
Dua pucuk meriam membawa makna bahawa negeri ini sentiasa bersedia untuk mempertahankan dirinya.
Dua ekor Kijang mengingatkan kembali kepada sejarah tua negeri ini tatkala Che' Wan Kembang (atau Che' Siti)
Permaisuri Kelantan (kira-kira pada akhir kurun yang ke14) yang
kerana terlalu kasih kepada kijang kesayangannya, telah memerintahkan wang emas dicap
dengan gambar binatang ini. Cogankata negeri ini ialah:
"BERSERAH KEPADA TUHAN KERAJAAN KELANTAN" BACK

Bendera Perak
Perak Darul Ridzuan
BENDERA NEGERI PERAK DARUL RIDZUAN
Bendera negeri Perak Darul Ridzuan mengandungi tiga warna berjalur putih, kuning dan hitam.
Ketiga-tiga jalur ini sama lebarnya. Warna putih melambangkan kebesaran Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Sultan Pe
rak Darul Ridzuan.
Warna kuning melambangkan kebesaran Duli Yang Teramat Mulia Raja Muda Perak Darul Ridzuan.
Warna hitam melambangkan kebesaran Duli Yang Maha Amat Mulia Raja Di Hilir Perak Darul Ridzuan.

LAMBANG NEGERI PERAK DARUL RIDZUAN
Lambang Negeri Perak Darul Ridzuan mengandungi Jata Ke Bawah Duli Yang Maha Mulia
Paduka Seri Sultan Perak Darul Ridzuan. Jata ini dilingkungi dengan bulan sabit yang mengandungi bunga padi. Jata melambangkan Kedaulatan Raja Pemerintah. Bulan Sabit menandakan Agama Islam sebagai
agama rasmi. Bunga Padi menggambarkan sumber perusahaan rakyat dan kesuburan negeri.
BENDERA NEGERI PAHANG DARUL MAKMUR
Bendera negeri Pahang mengandungi dua warna iaitu putih di atas dan hitam di bawah.
Kedua-duanya sama lebar. Hitam adalah warna kebesaran Bendahara melambangkan
bahawa pada suatu ketika dahulu pemerintahan di negeri Pahang adalah seorang yang
bertaraf Bendahara. Putih adalah melambangkan Raja. Tambahan warna putih di atas
hitam ini membawa makna bahawa negeri Pahang adalah negeri yang mempunyai
kedaulatan sendiri dan pemerintahan Beraja. Ini juga membawa erti bahawa
negeri ini ada mempunyai keistimewaan-keistimewaan, undang-undang, adat istiadat,
adat resam, tata susila serta kuasa-kuasa yang tertentu ada pada Raja sebagai sebuah
negeri yang beraja dan berdaulat.
Bendera Negeri Sembilan
Negeri Sembilan Darul Khusus

BENDERA NEGERI SEMBILAN DARUL KHUSUS
Warna kuning pada bendera membawa maksud D.Y.M.M. Raja. Bahagian tiga segi yang
berwarna merah bermakna rakyat, sementara bahagian tiga segi yang berwarna hitam maksudnya
Datuk-datuk Undang bagi Luak-luak yang menjadi
bahagian-bahagian negeri ini.

LAMBANG NEGERI SEMBILAN DARUL KHUSUS
Sembilan tangkai padi di dalam perisai itu maksudnya sembilan buah negeri dalam Gabungan
Negeri Sembilan yang lama. Warna merah dalam perisai menunjukkan hubungan-hubungan pada
masa lalu dengan British. Warna hitam maknanya Datuk-datuk Undang. Warna kuning maknanya
Yang Dipertuan Besar. Bintang Pecah Sembilan itu adalah juga menunjukkan sembilan buah negeri
dalam Gabungan yang lama. Pedang dan sarungannya di atas perisai itu tanda keadilan.
Di tengah-tengah antara pedang dan sarung ialah
"Changgai Putri" tanda kebesaran Yang Dipertuan Besar.

Bendera Terangganu
Terangganu Darul Iman

BENDERA NEGERI TERENGGANU DARUL IMAN
Latarbelakang berwarna putih membawa maksud D.Y.M.M Sultan. Ia melingkari tanah
hitam yang bermaksud rakyat. Ini bermakna Sultan adalah memberi perlindungan kepada seluruh rakyat
Baginda. Anak bulan dan bintang tanda Agama Islam, agama negeri.

LAMBANG NEGERI TERENGGANU DARUL IMAN
Bulan bintang menunjukkan negeri Islam. Mahkota menandakan pemerintahan Diraja. Pedang,
Keris Panjang dan Cokmar pula merupakan Alat Kebesaran Negeri. Manakala di sebelah kanannya ialah Quran melambangkan Agama Islam, agama rasmi negeri. Buku Undang-undang di
sebelah kiri pula menandakan keadilan dan Wali menandakan Alatan Istiadat Kebesaran.

Bendera Kedah
Kedah Darul Aman
BENDERA NEGERI KEDAH DARUL AMAN
Merah ialah warna kebangsaan negeri Kedah yang turun-temurun.
Padi maknanya negeri ini makmur dalam hal kehidupan. Anak bulan tanda negeri ini beragama Islam.
Perisai pula maksudnya Raja ( Kerajaan ) sentiasa menjaga dan memelihara rakyatnya dan
penduduk dalam negeri ini daripada kezaliman.


LAMBANG NEGERI KEDAH DARUL AMAN
Lengakaran padi menunjukkan bahawa padi merupakan tanaman utama Negeri ini.
Anak bulan tanda Agama Islam. Perisai pula melambangkan kekuasaan.
Bendera Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur
BENDERA WILAYAH PERSEKUTUAN KUALA LUMPUR

Bendera ini berteraskan bendera kebangsaan yang berjalur putih dan merah,
warna biru tua bersama bintang serta bulan sabit berwarna kuning. Unsur-unsur
ini tidak dapat dipisahkan memandangkan Kuala Lumpur adalah Ibu Negara
Malaysia dan juga Wilayah Persekutuan. 14 jalur merah dan putih (melintang) menandakan keanggotaan
13 buah negeri di Malaysia dan Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur terletak di bawah pentadbiran
Kerajaan Persekutuan. Bulan sabit dan bintang melambangkan Agama Islam sebagai
agama rasmi. Bintang berbucu 14 melambangkan 13 buah negeri di Malaysia dan Wilayah Persekutuan
Kuala Lumpur yang bertindak sebagai Pusat Kerajaan dan Pentadbiran. Warna biru tua di bahagian
tengah melambangkan perpaduan wargakota Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur yang berbilang kaum.
Warna merah melambangkan keberanian, kegagahan sebuah bandaraya dalam menghadapi cabaran ke
arah pembangunan bandaraya kosmopolitan yang dinamik dan berprogresif. Warna kuning melambangkan
kedaulatan dan kemakmuran Kuala Lumpur. Warna putih melambangkan keluhuran, kebersihan
dan keindahan bandaraya dalam taman bercahaya.