glitter-graphics.com


Tuesday 6 December 2011

AMALAN PEMAKANAN SEBAGAI UNSUR KEBUDAYAAN

Selain daripada Unsur Pakaian dan Unsur Makanan memainkan peranan penting dalam kebudayaan sesuatu masyarakat. Sama seperti pemakaian setiap kaum mempunyai amalan pemakanan dan makanan tradisional yang tersendiri.

Sebagai contohnya, kaum Melayu sangat terkenal dengan kuih-muih dan makanan tradisional mereka seperti ketupat, lemang, nasi lemak, pulut. laksa dan sebagainya. Kaum India pula terkenal dengan kuih muruku, tosai, idli, vadai, payasam, rasam dan sebagainya. Kaum Cina pun tidak terlepas, mereka mempunyai kuih bulan, kek, biskut, pau, bihun, mi kari, mi goreng dan sebagainya. Manakala, kaum Sikh terkenal dengan capati dan puri sebagai makanan tradisional mereka.

BERIKUT ADALAH BEBERAPA KLIP VIDEO TENTANG CONTOH MAKANAN ORANG MELAYU, INDIA DAN CINA UNTUK RENUNGAN BERSAMA. SELAMAT MENONTON!!!


MAKANAN ORANG MELAYU





MAKANAN ORANG INDIA









MAKANAN ORANG CINA








Friday 2 December 2011

PAKAIAN TRADISIONAL IBAN

PAKAIAN WANITA
Bidang
Wanita Iban memakai kain sarung yang dipanggil bidang. Kain sarung ini sempit dan panjangnya cuma lebih kurang separas lutut. Biasanya bidang diperbuat daripada sebidang kain yang berukuran 110cmx60cm dan terdiri daripada dua bidang kain seumpamanya yang dicantumkan. Bidang yang digunakansebagai pakaian harian tidak banyak reka coraknya. Kebiasaanya, bidang ini hanya dihias oleh reka corak jalur-jaluran yang berwarna-warni. Bidang yang dipakai ketika upacara tertentu atau sebarang perayaan pula dihiasi oleh pelbagai reka corak geometrik dan diwarnakan dengan warna merah bata dan kekuning-kuningan. Malah ada di antara bidang tersebut yang dihiasi dengan corak bermotif tradisional yang disongketkan dengan benang emas atau perak di atas kain dasar yang berwarna merah.


Kain Bidang
Bedong
Wanita Iban juga memakai kain selendang yang panjang dan sempit. Kain selempang ini dikenali sebagai bedong. Ia dihiasi dengan pelbagai corak tenunan yang sangat halus. Panjang bedong hampir sama dengan sirat. Bedong dipakai di bahu sebagai selendang atau diselempangkan di badan seperti pangkahan di dada dalam upacara-upacara rasmi.



Bedong
Marek Empang
Marek empang atau hiasan dada yang diperbuat daripada manik dan bebola kain bertujuan untuk menutup bahagian atas baju kecil atau kemban. Hiasan diri wanita Iban, Sarat dengan barangan perak seperti tali pinggang berbentuk duit syiling, rawai dan sugu tinggi (perhiasan di kepala).



Marek Empang


Baju Burung

Pakaian Istiadat suku kaum Iban. Lelaki memakai Baju Burung atau Gagung (sejenis baju yang tebal dan keras yang diperbuat daripada kulit haiwan seperti kulit beruang tetapi tidak dijahit kiri dan kanannya) dan sirat serta tali pinggang lampit dan manik-manik. Kepala memakai setapok tunjang dan bulu kenyalang.

Baju Burung

Kalambi
Baju kaum Iban yang dipanggil kalambi pula ada dua jenis iaitu kalambi berlengan dan kalambi tidak berlengan. Kalambi dipakai oleh lelaki dan wanita Iban ketika upacara tertentu sahaja. Potongan kalambi sangat ringkas iaitu terdiri daripada sebidang kain segi empat bujur yang dilipat dua. Sisinya dicantumkan dan ditanggalkan ruang untuk lubang atau ambungan lengan. Panjang kalambi berbeza-beza iaitu ada yang separas punggung dan ada yang labuh hingga ke lutut. Kalambi ditenun dengan segala macam motif yang indah. Terdapat kalambi yang dihias dengan jalur-jalur yang indah dan ada pula kalambi yang dihias dengan jalur-jalur dan setengahnya pula dipenuhi dengan figura-figura roh dan binatang. Kalambi yang dipakai oleh pahlawan juga dilapiskan dengan kekabu sebagai pertahanan. Ada kalambi yang menggunakan kain yang ditenun dengan cara mengikat. Kain ini bermotifkan jalur-jaluran yang menegak, figura manusia dan burung. Semua motif tersebut ditenun dalam bentuk geometrik. Hujung kalambi hasil tenunan ikat ini pula dibiarkan berjumba, berpintal atau dihias dengan karangan manik.



Kalambi

Wednesday 30 November 2011

PAKAIAN TRADISIONAL KAUM SIKH

Masyarakat penganut Sikh atau Punjabi di seluruh dunia turut memakai serban dalam bentuk lebih tebal, lonjong dan seragam bentuknya. Di sesetengah tempat, serban dipakai oleh Penganut Sikh/Punjabi dipanggil Turban atau dastar. Kain serban yang dipakai berukuran sepanjang 5 meter. Serban amat berkait dengan kepercayaan dan kewajiban di kalangan penganut Sikh. Selain itu, penganut Sikh dilarang memotong rambut dan diwajibkan memakai serban agama agar rambut yang panjang mudah diurus. Tetapi orang perempuan tidak perlu memakai serban.
Pakaian tradisional orang punjabi ialah Kurta dan dhoti serta salwar kameez. Kurta dan dhoti dipakai oleh golongan lelaki manakala salwar kameez dipakai oleh golongan perempuan muda. Golongan perempuan tua pula memakai sari mengikut cara pemakaian mereka yang berlainan dengan kaum India.
















Wednesday 23 November 2011

PAKAIAN TRADISIONAL KAUM CINA


Kaum Cina merupakan kaum yang terdiri daripada pelbagai adat resam dan kepercayaan yang tersendiri. Kaum Cina juga mempunyai pakaian tradisional mereka yang dipanggil cheongsam ( perempuan ), Sam Fu ( lelaki ). Masyarakat Cina menggunakan kain yang berwarna merah bagi upacara atau perayaan yang diraikan dengan gembira. Ini kerana mereka bertanggapan bahawa warna merah membawa tuah. Manakala mereka menggunakan warna putih dam hitam bagi menunjukkan duka ataupun keadaan yang tidak baik. Berikut adalah beberapa contoh pakaian yang dipakai oleh warga Cina di negara kita.










Tuesday 22 November 2011

Pakaian Tradisional Kaum India

Seperti kaum-kaum yang lain kaum India juga mempunyai unsur pemakaiannya yang tersendiri. Kebanyakkan masyarakat Malaysia merupakan penganut agama Hindu. Amalan pemakaian kaum India berbeza antara etnik dan ras. Dimana sesuatu cara pemakaian dapat menonjolkan etnik dan ras sekumpulan masyarakat. Begitu juga dengan amalan adat resam mereka pun berlainan juga.

Pakaian warga perempuan
Sari merupakan pakaian tenunan khas yang dipakai oleh semua kalangan orang India. Sari diubahsuai untuk menjadi pakaian kepada golongan kanak-kanak dan remaja. Sari juga dipakai mengikut kehendak dan ia dapat menunjukkan kumpulan keturunan seseorang wanita India. Berikut adalah beberapa contoh dalam cara pemakaian sari.
Etnik Telugu



Etnik Tamil




Etnik Malayaalam


Etnik Desa


Etnik Brahmin



PAKAIAN WARGA LELAKI

Dhoti merupakan pakaian tradisional orang lelaki dalam kaum India. Dhoti juga merupakan hasil tenunan yang ditenun menggunakan benang kapas ( Cotton ) dan ada juga dhoti yang ditenun khas dengan benang silk. Pemakaian dhoti juga mempunyai pelbagai cara. Berikut adalah beberapa contoh pemakaian dhoti.










Sunday 20 November 2011

Nota PSK Tahun 4- Pakaian Tradisional Kebanggaan Kita

PAKAIAN TRADISIONAL ORANG MELAYU
Secara keseluruhannya pakaian Orang Melayu mempunyai banyak jenisnya. Antaranya ialah Baju Riau, Baju Belah Kebaya Panjang, Baju Melayu Cekak Musang, Baju Teluk Belanga dan Baju Kurung. Baju Melayu terbahagi kepada tiga iaitu:

Baju Melayu Cekak Musang ( lelaki )
Baju Melayu Belanga ( lelaki )
Baju kurung ( perempuan dan lelaki )



BAJU RIAU

Baju berbelah ini seakan-akan baju kebaya pendek. Baju Riau juga dikenali sebagai 'Engku Puteri atau Raja Hamidah' puteri pada Raja Haji iaitu Yang Dipertuan muda Riau yang kelima dari keturunan Bugis. Pada umumnya baju tradisional Melayu untuk kaum lelaki dilengkapi dengan kain songket.


BAJU BELAH KEBAYA PANJANG

Walaupun wanita Johor terkenal dengan Baju Kurung, tetapi dalam acara majlis, mereka muncul juga dengan memakai kebaya, sebagai warisan daripada kerajaan Johor-riau. Pola baju belah panjang ini masih bersifat 'mengurungkan' anggota badan. Secara tradisi potongannya labuh sehingga buku lali. Cuma bezanya ia berbelah dan berpesak di hadapan baju ini, umumnya dipakai sebagai pakaian di luar rumah atau upacara rasmi. Baju Belah panjang ini terkenal di Melaka, Perak, Selangor dan Kedah-Perlis. Baju kurung belah ini kemudiannya dikenali sebagai 'baju panjang' dan 'kebaya panjang'. Tradisi ini berkembang menjadi kebaya dan bertangan panjang berpesak lurus di hadapan, berkekek dan berbelah dada yang ditutup dengan kancing atau kerongsang tiga.



BAJU MELAYU CEKAK MUSANG

Istilah ini berhubung langsung dengan pola lingkaran leher baju, tengkuk 'cekak' tinggi atau leher tegak empang leher. Pengertian cekak musang merakamkan imej alami untuk leher baju yang bercekak tinggi berdiri (2.5cm) melingkari leher. Ukuran ditentukan oleh lingkaran bulat yang dibuat dengan ibu jari lain yang bertemu hujungnya. Baju ini mula dipakai di Johor ketika Pemerintahan Sultan Ibrahim Ibni Sultan Abu Bakar.


BAJU TELUK BELANGA

Baju ini mula diperkenalkan di Teluk Belanga, Singapura dan tersebar luas sebagai ciri khas Johor khususnya pada abad ke-19. Ia juga dikatakan sejenis pakaian lelaki yang dikatakan telah direka oleh Sultan Abu Bakar pada tahun 1866 untuk meraikan perpindahan ibu negeri Johor dari Teluk Belanga di Singapura ke Johor Bahru. Walaubagaimanapun istilah ini akhirnya menjadi ciri khas masyarakat Melayu hingga disebut selengkapnya 'Baju Melayu'.


BAJU KURUNG

Baju kurung dianggap popular dan dipakai oleh lelaki dan perempuan. Perbezaannya terletak pada bahagian kocek iaitu lelaki mempunyai 3 kocek manakala perempuan hanya mempunyai 1 kocek serta perbezaan dari segi cara pemakaiannya. Pengertian kurung secara tidak langsung telah membawa erti 'mengurung atau menutup' anggota tubuh. Cara ini menepati konsep pakaian cara Melayu setelah kedatangan Islam, sehinggalah istilah kurung diertikan sebagai baju yang selesa dan longgar, labuh atau panjang. Sehingga disebut dengan berbagi-bagai nama misalnya, 'Baju Kurung Bernyawa' walaupun mempunyai pelbagai nama namun Baju Kurung telah menampilkan ciri-ciri tersendiri.

Thursday 17 November 2011

MARILAH MENGENALI KEBUDAYAAN MASYARAKAT SETEMPAT

Seperti yang kita tahui negara Malaysia terdiri daripada kalangan masyarakat yang terdiri daripada pelbagai kaum dan etnik. Antaranya ialah Kaum Melayu, Kaum India dan Kaum Cina. Setiap kaum mempunyai adat resam dan kebudayaannya tersendiri. Kesepaduan pelbagai kaum, adat resam, kepercayaan dan kebudayaan menjadi tonggak kepada perkenalan Malaysia di mata dunia. Selain itu, ia juga telah menarik ramai pelancong ke negara kita.

Amalan pemakanan, amalan pemakaian dan tarian tradisional adalah antara unsur kebudayaan yang menjadi kebanggaan di negara kita. Setiap kaum berbeza dalam kesemua amalan tersebut.
Berikut adalah beberapa klip video tentang pakaian tradisional Orang Melayu, Orang India dan Orang Cina.




Pakaian Tradisional Kaum Melayu



Pakaian Tradisional Kaum India




Pakaian Tradisional Kaum Cina

Tuesday 15 November 2011

TAHUKAH ANDA!!!

Menurut sejarah negara Malaysia merupakan sebuah negara yang pernah dijajah oleh pengaruh dan kuasa-kuasa asing seperti Portugis, Belanda dan Inggeris. Kuasa asing yang paling lama menjajah negara kita ialah Inggeris.



Negara kita mempunyai 13 buah negeri dan 3 buah wilayah persekutuan. Negeri-negeri di Malaysia ialah Kedah, Perak, Selangor, Negeri Sembilan, Kelantan, Terengganu, Melaka, Pulau Pinang, Johor, Pahang, Perlis, Sarawak dan Sabah. Manakala, Wilayah Persekutuan di negara kita terdiri daripada Wilayah Persekutuan Putrajaya, Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur dan Wilayah Persekutuan Labuan.
Negara Malaysia kaya dengan sumber alam semula jadi yang menjadi tarikan kepada jutaan pelancong yang datang berkunjung ke negara kita. Keadaan flora dan faunanya yang mencuit hati membawa kepada peningkatan imej negara kita di mata dunia. Selain itu, sistem ekonomi dan sosial yang kukuh membolehkan negara kita bertanding di dagangan dunia.
Bukan sahaja faktor semula jadi, unsur masyarakat dan sosial juga menjadi punca kedatangan para pelancong ke negara kita. Kehidupan, kepercayaan dan adat resam pelbagai kaum dan entik memberi kebanggaan kepada negara Malaysia. Unsur Patriotik dan perpaduan telah dapat ditonjolkan oleh warga Malaysia yang mampu memacak Jalur Gemilang di puncak Gunung Everest.

Sunday 16 October 2011

Bendera Malaysia dan Bendera Negeri-Negeri Di Malaysia




Bendera Malaysia
KETERANGAN LAMBANG-LAMBANG PADA BENDERA MALAYSIA

Bendera Malaysia mengandungi 14 jalur merah dan putih (melintang) yang sama lebar,
tanda keanggotaan yang sama dalam Persekutuan 13 buah negeri iaitu Johor, Kedah, Kelantan, Melaka,
Negeri Sembilan, Pahang, Pulau Pinang, Perak, Perlis, Sabah, Sarawak, Selangor,
Terengganu dan Kerajaan Persekutuan.
Bahagian yang berwarna biru tua di atas sebelah kiri membawa ke bawah hingga atas
jalur merah yang kelima melambangkan Perpaduan Rakyat Malaysia.
Bahagian biru tua ini mengandungi anak bulan, tanda Agama Islam. Bintang pecah 14 tandanya
Perpaduan 13 buah negeri dan Kerajaan Persekutuan.
Warna kuning pada anak bulan dan bintang ialah warna Diraja bagi Duli-Duli Yang
Maha Mulia Raja-Raja Melayu
Lambang Malaysia menunjukkan bintang pecah 14 menandakan 13 buah negeri yang terkandung dalam Persekutuan Malaysia, dan Kerajaan Persekutuan, manakala bintang bersama-sama anak bulan itu tanda Agama Islam - agama rasmi Malaysia. Lima bilah keris itu tanda Negeri-negeri Melayu yang Tiada Bersekutu dahulu (Johor, Kedah, Perlis, Kelantan dan Terengganu).
Bahagian sebelah kiri perisai itu menandakan Negeri Pulau Pinang dan bahagian sebelah kanan dengan pokok Melaka itu Negeri Melaka. Kedua-dua buah negeri ini adalah sebahagian dari Negeri-negeri Selat dahulu. Dalam empat jalur yang sama besarnya dalam bahagian tengah itu, warna-warna hitam dan putih ialah warna Pahang; merah dan kuning warna Selangor; hitam, putih dan kuning warna Perak; merah, hitam dan kuning warna Negeri Sembilan.
Empat buah negeri ini ialah Negeri-negeri Melayu Bersekutu yang asal. Tiga bahagian di sebelah bawah itu menandakan Negeri Sabah di sebelah kiri dan Sarawak di sebelah kanan. Di tengah-tengahnya ialah Bunga Raya - Bunga Kebangsaan. Harimau-harimau yang ditunjukkan sebagai penumpang jata Negeri-negeri Melayu Bersekutu dahulu itu digunakan dalam Lambang Malaysia. Cogan - Bersekutu Bertambah Mutu - ditulis dengan tulisan rumi di sebelah kiri dan tulisan jawi di sebelah kanan. Warna kuning pada awan-awan itu ialah warna Diraja bagi Duli-duli Yang Maha Mulia Raja-raja.
Memandangkan Malaysia adalah sebuah negara yang berdaulat, bendera hanya dikibarkan pada tempoh dan waktu yang tertentu sahaja untuk memupuk semangat kenegaraan supaya rakyat Malaysia berasa megah dan menghormati bendera mereka.
Bendera Malaysia dan bendera-bendera negeri hanya boleh dikibarkan pada upacara-upacara rasmi seperti keputeraan Seri Paduka Baginda Yang di Pertuan Agong, Ulang Tahun Hari Kemerdekaan, perayaan-perayaan Persekutuan dan Negeri-negeri, lawatan-lawatan rasmi, di kedutaan-kedutaan Malaysia luar negeri serta upacara-upacara rasmi negara (seperti Majlis Tilawah, SukanNegara). Malah bendera Malaysia berkibar bersama-sama dengan bendera negara-negara lain di hadapan bangunan Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu di New York.
Bendera Malaysia juga telah berkibar dengan megahnya di puncak Gunung Kala Pattar setinggi 5,856 m di Banjaran Himalaya pada tepat jam 1.00 tengah hari pada 11 Januari, 1984 lalu, apabila serombongan 12 orang rakyat negara Malaysia berjaya mendaki puncak gunung tersebut dalam satu ekspedisi bersejarah.
Pada 25 Ogos 1985, Syarikat Singer telah mengadakan Promosi Bendera Gergasi Hari Kemerdekaan Malaysia di Kuala Lumpur Plaza. Bendera tersebut berukuran 32.5 m x 16.4 m. Usaha tersebut menunjukkan kerjasama dan interaksi rakyat Malaysia dari berbagai kaum. Begitu juga bendera terbesar Malaysia yang telah dinaikkan di Bangunan Angkasapuri berukuran 97.5 m x 24.3 untuk menyambut Hari Kebangsaan 1988.
Upacara menaikkan bendera adalah acara kemuncak Semarak pada 21 Ogos1988 di Melaka. Sejajar dengan kempen Setia dan Semarak, Pameran Bulan Bendera telah diadakan di Pasar Budaya. Begitu juga dengan kempen Kibarkan Bendera (Jalur Gemilang) dan kempen Cinta Negara adalah usaha yang dilaksanakan untuk memupukkan semangat cinta dan setia kepada negara.
Bendera Malaysia dan bendera negeri-negeri Malaysia yang mempunyai lambang tersendiri pada keseluruhannya adalah berpegang kepada konsep Rukunegara iaitu:
  • Kepercayaan Kepada Tuhan
  • Kesetiaan Kepada Raja Dan Negara
  • Keluhuran Perlembagaan
  • Kedaulatan Undang-Undang
  • Kesopanan Dan Kesusilaan.

Bendera Sabah
Sabah Di Bawah Bayu
BENDERA NEGERI SABAH DI BAWAH BAYU
Bendera negeri Sabah berbentuk persegi panjang berukuran 1:2. Di sudut sebelah atas
bendera berwarna biru cerah, yang menjadi latarbelakang lukisan grafik bayangan Gunung Kinabalu,
berwarna biru tua, meliputi suku bahagian bendera ini. Bahagian hujung bendera yang berkibar
dihiasi tiga jalur yang sama besar. Jalur atas berwarna biru muda, jalur tengah berwarna putih
dan jalur bawah berwarna merah cili. Warna biru muda melambangkan keamanan dan kesejahteraan,
putih melambangkan kesucian dan keadilan, manakala merah cili melambangkan keberanian dan keyakinan.
Warna biru cerah menunjukkan perpaduan dan kemakmuran sementara biru tua melambangkan kekuatan
dan semangat kerjasama. Kelima-lima warna yang menghiasi bendera ini mewakili lima bahagian
yang terkandung dalam Negeri Sabah. Lukisan grafik berbentuk Gunung Kinabalu pula melambangkan
Kerajaan Negeri Sabah.

LAMBANG NEGERI SABAH DI BAWAH BAYU
Sepasang tangan yang menjulang megah bendera negeri Sabah menghiasi lencana ini melambangkan
semangat perpaduan erat dan kerjasama yang lama terjalin di kalangan rakyat pelbagai kaum demi
mencapai kemajuan dan kejayaan bagi negeri Sabah. Sebarisan lima warna di bawah sepasang
tangan tersebut merupakan lima bahagian 'daerah' yang terkandung dalam negeri Sabah. Warna
biru muda melambangkan keamanan dan kesejahteraan, putih melambangkan kesucian
dan keadilan, merah cili melambangkan keberanian dan keyakinan, warna biru cerah melambangkan
perpaduan dan kemakmuran sementara biru tua melambangkan kekuatan dan
semangat kerjasama rakyat. Lukisan grafik berbentuk bayangan Gunung
Kinabalu pula melambangkan Kerajaan Negeri Sabah.
Bendera Johor
Johor Darul Takzim
BENDERA NEGERI JOHOR DARUL TAKZIM

Anak bulan dan bintang yang berwarna putih itu menandakan Raja yang berdaulat.
Bahagian yang berwarna merah bermakna hulubalang yang mempertahankan negeri.
Bahagian yang berwarna biru tua itu pula maksudnya Kerajaan Negeri.

LAMBANG NEGERI JOHOR DARUL TAKZIM

Mahkota tanda D.Y.M.M Raja. Empat Bintang di sudut Perisai Putih itu menandakan
Empat Buah Jajahan besar asal negeri itu, iaitu Johor Bahru, Muar, Batu Pahat dan Endau,
sementara Bintang dan Anak Bulan di tengah pula, tanda Agama Islam.
Dua ekor Harimau yang memegang perisai itu mengingatkan kepada binatang-binatang
buas yang pada suatu masa dahulu merayau-rayau di negeri ini. Lukisan yang berbunga-bunga
disebelah bawah perisai menggambarkan Gambir dan Lada Hitam, dua jenis hasil utama yang asal bagi negeri ini.
Cogankata negeri ini ialah:- "KEPADA ALLAH BERSERAH"

Bendera Melaka
Melaka Darul Azim
BENDERA NEGERI MELAKA DARUL AZIM
Warna-warna merah, putih, kuning dan biru adalah warna-warna Bendera Persekutuan
dan menunjukkan bahawa Melaka ialah sebuah negeri dalam Persekutuan, sementara anak
bulan dan bintang pecah lima itu pula ialah tanda Agama Islam, agama negeri dan Malaysia.

LAMBANG NEGERI MELAKA DARUL AZIM
Warna merah, putih, kuning dan biru maknanya Melaka sebuah negeri dalam Malaysia.
Lima bilah keris maksudnya lima orang pahlawan termasyhur di Melaka, pada zaman dahulu.
Anak bulan dan bintang pecah lima melambangkan Agama Islam, agama rasmi negeri.
Pokok Melaka ialah pohon dari mana negeri itu mendapat namanya. Dua ekor pelandok
yang memegang perisai ialah untuk memperingati riwayat tua iaitu pelandoklah yang telah
memyebabkan Raja Melaka yang pertama mengambil keputusan untuk menetap di situ.


Bendera Selangor
Selangor Darul Ehsan
BENDERA NEGERI SELANGOR DARUL EHSAN
Empat bahagian yang berwarna kuning dan merah itu bermaksud daging dan darah iaitu
unsur-unsur yang perlu untuk memberi jiwa dan tenaga kepada negeri ini. Bulan bintang pula ialah sebagai Agama Islam, agama rasmi negeri dan kesucian Agama Islam ditunjukkan dengan warna putih.

LAMBANG NEGERI SELANGOR DARUL EHSAN
Anak bulan dan bintang tanda Agama Islam, agama negeri. Tombak merah di tengah-tengah ialah
Sambu-warna. Di sebelah kanan ialah Keris Pendek dan di kiri pula Keris Panjang. Ketiga-tiganya
adalah Alat Kebesaran Negeri. Tulisan jawi yang berbunyi "Dipelihara Allah" ialah cogan negeri.
Di bawah cogan pula ialah tali bengkong yang dipakai sebagai ikat pinggang oleh pahlawan-pahlawan
zaman dahulu.

Bendera Perlis
Perlis Indra Kayangan
BENDERA NEGERI PERLIS INDERA KAYANGAN
Warna kuning melambangkan D.Y.M.M. Raja. Warna biru pula melambangkan rakyat.
Bendera itu sendiri membawa makna kerjasama yang erat di antara Raja dengan Rakyat Baginda.

LAMBANG NEGERI PERLIS INDERA KAYANGAN
Lingkaran padi pada lambang negeri Perlis memberi maksud pekerjaan utama dan hasil utama
negeri iaitu padi. Perisai pula melambangkan kebanggaan dan kehormatan negeri itu. Lambang itu
keseluruhannya bermakna kebanggaan negeri itu kerana kekayaan hasil padinya.


Bendera Pulau Pinang
Pulau Pinang Untuk Negeri Kita
BENDERA NEGERI PULAU PINANG
Warna biru muda bermaksud warna laut yang indah di sekeliling pulau itu. Warna putih pula
membawa maksud negeri Pulau Pinang yang aman dan damai. Warna kuning melambangkan
kemakmuran. Pohon Pinang ialah pohon dari mana pulau itu mendapat namanya.

LAMBANG NEGERI PULAU PINANG
Pohon Pinang ialah tanda asal nama pulau itu. Petak yang berwarna kuning mengandung
i gambar Jambatan Besar Pulau Pinang yang mempunyai dua tiang dan empat kebel yang
menegakkan tiang tersebut. Dua tiang ini melambangkan Serampang Dua Mata di dalam
Dasar Ekonomi Baru iaitu pembasmian kemiskinan dan penyusunan semula masyarakat. Empat
kebel pula menggambarkan empat jenis keturunan rakyat di negeri ini, iaitu Melayu, Cina, India
dan lain-lain. Jalur-jalur biru dan putih yang menjadi simbol lautan berjumlah lima. Tiap-tiap satu
warna yang memberi makna simbol lima prinsip Rukunegara dan lima daerah pentadbiran
yang terdapat di Pualu Pinang.
Bendera Kelantan
Kelantan Darul Naim

BENDERA NEGERI KELANTAN DARUL NAIM
Latarbelakang berwarna merah maksudnya kejujuran penduduk negeri ini termasuk rakyat dan
Raja yang memerintah. Lambang kebesaran berwarna putih itu tanda kesucian Raja negeri ini.


LAMBANG NEGERI KELANTAN DARUL NAIM
Lambang Mahkota menandakan Kedaulatan Sultan. Dua tombak dan dua keris maksudnya
kekuatan orang-orang Melayu Kelantan. Anak bulan dan bintang adalah lambang agama Islam.
Dua pucuk meriam membawa makna bahawa negeri ini sentiasa bersedia untuk mempertahankan dirinya.
Dua ekor Kijang mengingatkan kembali kepada sejarah tua negeri ini tatkala Che' Wan Kembang (atau Che' Siti)
Permaisuri Kelantan (kira-kira pada akhir kurun yang ke14) yang
kerana terlalu kasih kepada kijang kesayangannya, telah memerintahkan wang emas dicap
dengan gambar binatang ini. Cogankata negeri ini ialah:
"BERSERAH KEPADA TUHAN KERAJAAN KELANTAN" BACK

Bendera Perak
Perak Darul Ridzuan
BENDERA NEGERI PERAK DARUL RIDZUAN
Bendera negeri Perak Darul Ridzuan mengandungi tiga warna berjalur putih, kuning dan hitam.
Ketiga-tiga jalur ini sama lebarnya. Warna putih melambangkan kebesaran Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Sultan Pe
rak Darul Ridzuan.
Warna kuning melambangkan kebesaran Duli Yang Teramat Mulia Raja Muda Perak Darul Ridzuan.
Warna hitam melambangkan kebesaran Duli Yang Maha Amat Mulia Raja Di Hilir Perak Darul Ridzuan.

LAMBANG NEGERI PERAK DARUL RIDZUAN
Lambang Negeri Perak Darul Ridzuan mengandungi Jata Ke Bawah Duli Yang Maha Mulia
Paduka Seri Sultan Perak Darul Ridzuan. Jata ini dilingkungi dengan bulan sabit yang mengandungi bunga padi. Jata melambangkan Kedaulatan Raja Pemerintah. Bulan Sabit menandakan Agama Islam sebagai
agama rasmi. Bunga Padi menggambarkan sumber perusahaan rakyat dan kesuburan negeri.
BENDERA NEGERI PAHANG DARUL MAKMUR
Bendera negeri Pahang mengandungi dua warna iaitu putih di atas dan hitam di bawah.
Kedua-duanya sama lebar. Hitam adalah warna kebesaran Bendahara melambangkan
bahawa pada suatu ketika dahulu pemerintahan di negeri Pahang adalah seorang yang
bertaraf Bendahara. Putih adalah melambangkan Raja. Tambahan warna putih di atas
hitam ini membawa makna bahawa negeri Pahang adalah negeri yang mempunyai
kedaulatan sendiri dan pemerintahan Beraja. Ini juga membawa erti bahawa
negeri ini ada mempunyai keistimewaan-keistimewaan, undang-undang, adat istiadat,
adat resam, tata susila serta kuasa-kuasa yang tertentu ada pada Raja sebagai sebuah
negeri yang beraja dan berdaulat.
Bendera Negeri Sembilan
Negeri Sembilan Darul Khusus

BENDERA NEGERI SEMBILAN DARUL KHUSUS
Warna kuning pada bendera membawa maksud D.Y.M.M. Raja. Bahagian tiga segi yang
berwarna merah bermakna rakyat, sementara bahagian tiga segi yang berwarna hitam maksudnya
Datuk-datuk Undang bagi Luak-luak yang menjadi
bahagian-bahagian negeri ini.

LAMBANG NEGERI SEMBILAN DARUL KHUSUS
Sembilan tangkai padi di dalam perisai itu maksudnya sembilan buah negeri dalam Gabungan
Negeri Sembilan yang lama. Warna merah dalam perisai menunjukkan hubungan-hubungan pada
masa lalu dengan British. Warna hitam maknanya Datuk-datuk Undang. Warna kuning maknanya
Yang Dipertuan Besar. Bintang Pecah Sembilan itu adalah juga menunjukkan sembilan buah negeri
dalam Gabungan yang lama. Pedang dan sarungannya di atas perisai itu tanda keadilan.
Di tengah-tengah antara pedang dan sarung ialah
"Changgai Putri" tanda kebesaran Yang Dipertuan Besar.

Bendera Terangganu
Terangganu Darul Iman

BENDERA NEGERI TERENGGANU DARUL IMAN
Latarbelakang berwarna putih membawa maksud D.Y.M.M Sultan. Ia melingkari tanah
hitam yang bermaksud rakyat. Ini bermakna Sultan adalah memberi perlindungan kepada seluruh rakyat
Baginda. Anak bulan dan bintang tanda Agama Islam, agama negeri.

LAMBANG NEGERI TERENGGANU DARUL IMAN
Bulan bintang menunjukkan negeri Islam. Mahkota menandakan pemerintahan Diraja. Pedang,
Keris Panjang dan Cokmar pula merupakan Alat Kebesaran Negeri. Manakala di sebelah kanannya ialah Quran melambangkan Agama Islam, agama rasmi negeri. Buku Undang-undang di
sebelah kiri pula menandakan keadilan dan Wali menandakan Alatan Istiadat Kebesaran.

Bendera Kedah
Kedah Darul Aman
BENDERA NEGERI KEDAH DARUL AMAN
Merah ialah warna kebangsaan negeri Kedah yang turun-temurun.
Padi maknanya negeri ini makmur dalam hal kehidupan. Anak bulan tanda negeri ini beragama Islam.
Perisai pula maksudnya Raja ( Kerajaan ) sentiasa menjaga dan memelihara rakyatnya dan
penduduk dalam negeri ini daripada kezaliman.


LAMBANG NEGERI KEDAH DARUL AMAN
Lengakaran padi menunjukkan bahawa padi merupakan tanaman utama Negeri ini.
Anak bulan tanda Agama Islam. Perisai pula melambangkan kekuasaan.
Bendera Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur
BENDERA WILAYAH PERSEKUTUAN KUALA LUMPUR

Bendera ini berteraskan bendera kebangsaan yang berjalur putih dan merah,
warna biru tua bersama bintang serta bulan sabit berwarna kuning. Unsur-unsur
ini tidak dapat dipisahkan memandangkan Kuala Lumpur adalah Ibu Negara
Malaysia dan juga Wilayah Persekutuan. 14 jalur merah dan putih (melintang) menandakan keanggotaan
13 buah negeri di Malaysia dan Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur terletak di bawah pentadbiran
Kerajaan Persekutuan. Bulan sabit dan bintang melambangkan Agama Islam sebagai
agama rasmi. Bintang berbucu 14 melambangkan 13 buah negeri di Malaysia dan Wilayah Persekutuan
Kuala Lumpur yang bertindak sebagai Pusat Kerajaan dan Pentadbiran. Warna biru tua di bahagian
tengah melambangkan perpaduan wargakota Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur yang berbilang kaum.
Warna merah melambangkan keberanian, kegagahan sebuah bandaraya dalam menghadapi cabaran ke
arah pembangunan bandaraya kosmopolitan yang dinamik dan berprogresif. Warna kuning melambangkan
kedaulatan dan kemakmuran Kuala Lumpur. Warna putih melambangkan keluhuran, kebersihan
dan keindahan bandaraya dalam taman bercahaya.